....................................................................................................

Saturday, April 2, 2011

Shooting #4

Harian Metro - Ruangan Hati (H13)
2 April 2011
Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan

Atikel asal :

CUBA mencari kelainan menjadi pegangan pengasas D’Little Asia Collections dalam menarik minat pengguna terhadap penggunaan kerongsang kristal swarovski sebagai pelengkap gaya pemakaian tudung.

Mula ditubuhkan pada 2005, barangan aksesori yang disediakan merangkumi pelbagai aspek iaitu gelang, penanda buku, anting-anting, rantai leher, cincin serta tasbih yang semuanya membabitkan penggunaan kristal swarovski berkualiti.

Pengarah Urusannya, Aida Mohd Noor berkata, semua proses pembuatannya dilakukan secara manual menggunakan tangan kerana setiap butiran kristal yang digunakan perlu disambung dengan kemas agar tidak mudah tertanggal.

Untuk koleksi kerongsang jurai terbaru, boleh dikatakan butiran kristal digunakan agak sarat tetapi masih elegan kerana ia dipadankan dengan penggunaan tudung ataupun selendang polos.

“Malah, ia disediakan secara berpasangan lengkap dengan kerongsang ibu dan anak bagi memudahkan pengguna membuat pilihan.

“Ia pasti sesuai digayakan pada majlis makan malam agar tampil ringkas tetapi masih mengekalkan gaya dengan penggunaan aksesori itu,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Penggunaan kerongsang jurai ini biasanya lebih tertumpu kepada mereka yang gemar menggunakan sanggul tinggi dalam penggayaan tudung.

Untuk menampakkan kekemasan pada sanggul yang dipakai, penggunaan kerongsang jurai seperti ini perlu agar kelihatan lebih berseni.

“Saya cuba menghasilkan rekaan yang belum ada di pasaran agar tidak wujud persaingan yang begitu ketara kerana terlalu banyak koleksi kerongsang yang seakan-akan sama dikeluarkan.

“Ini menyebabkan pengguna tidak mempunyai banyak pilihan dalam menggayakan tudung kegemaran mereka bersama aksesori bersesuaian,” katanya.

Harga yang ditawarkan juga berpatutan walaupun ramai mengetahui penggunaan kristal swarovski berkualiti agak mahal.

“Saya cuba meminimumkan harga agar ia tidak menjadi terlalu mahal tetapi pada masa sama, tetap mengekalkan kualiti produk.

“Setiap rekaan kerongsang dihasilkan hanya ada satu seumpamanya. Bagaimanapun, pelanggan boleh mengemukakan rekaan sendiri untuk mendapatkan bentuk diingini,” katanya yang boleh dihubungi menerusi dlac-aida.blogspot.com.